Kehidupan boleh diibaratkan seperti untaian tali temali yang sentiasa bersambungan tetapi pasti ada hujung pangkalnya. Oleh itu, corak kehidupan juga ada peringkat-peringkat tertentu yang perlu dilewati seseorang seiring dengan pertambahan usia yang akhir menemui penghujungnya, Peringkat kehidupan terbahagi kepada lima iaitu:-
- Kehidupan alam pertama iaitu sejak Nabi Adam a.s. diciptakan dan seterusnya melahirkan zuriat manusia.
- Kehidupan kedua sejak manusia dilahirkan ke dunia hasil perhubungan suami isteri sehinggalah berakhir dengan kematian.
- Kehidupan alam ketiga iaitu alam barzakh yang merupakan alam penantian
sementara sebelum dibangkitkan semula oleh Allah s.w.t pada hari pembalasan kelak. - Kehidupan keempat iaitu semenjak alam barzakh - dihidupkan kembali untuk dikumpulkan bagi menerima pengadilan.
- Kehidupan alam kelima iaitu semenjak penentuan timbangan amal bagi
menentukan ganjaran syurga atau seksaan neraka.
Empat peringkat kehidupan insan yang terawal kesemuanya dipenuhi dengan perjuangan dan gelora kehebatan ujian serta cubaan kecuali kehidupan yang terakhir yang berkesudahan dengan menerima ganjaran atau hukuman. Oleh itu bagi memperolehi kebahagiaan bukan sahaja semas di peringkat awal bahkan berkesudahan dengan ganjaran yang mulia, seorang insan perlu mengambil Islam, Iman, Ihsan, Iradah, dan Ikhlas sebagai landasan dan cerminan kehidupan.
Alangkah cantik dan indahnya jika keislamannya didasari oleh iman. Kemudian imannya diperelokkan dengan ihsan. Lantas, ihsannya pula dihidupkan dengan iradah manakala iradahnya pula disucikan dengan ciri-ciri keikhlasan. Ini merupakan resipi yang tiada tolok bandingnya dalam kembara insane mencari dan menikmati kelazatan serta kemanisan iman yang paling abadi. Malah Allah juga turut berjanji dalam firman-Nya: (At-Tin: 4-6)
"Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka), kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya."
rujukan: tazkirah.
1 comment:
Hati merintih tak siapa ketahui, tangisan jiwa menjadi rahsia di balik kamar sanubari,walaupun senyuman tak lekang di bibir ini, walaupun tawa ku masih menyeri,tak siapa ambil peduli,hanya kepada Nya aku menagih simpati, dalam kembara mencari cinta hakiki, aku tersungkur dan tersungkur lagi, lututku pedih dan perit sekali, luka di tubuh mudah diubati, tapi luka di hati berdarah kembali...bantulah aku dalam meniti hari, agar nun disana aku megah berdiri....
Post a Comment