Saturday, March 29, 2008

HASAD


Bismillahirrahmaanirrahim

Alhamdulillah setinggi kesyukuran kita kepada Allah, selawat dan salam buat junjunga besar nabi Muhammad SAW para sahabat dan ahli keluarga baginda sekalian nya.

HASAD, dari perkataannya sahaja pun dapat kita bayangkan ianya sifat yang buruk dan tidak patut ada pada diri kata, apatah lagi hasad sesama muslim. Sedangkan nabi ada menyebut dalam hadith nya “tidak beriman seseorang itu sehinggalah dia menyayangi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri” jelas di sini kita disuruh mengasihi kawan-kawan kita bukannya menyakiti mereka.

Dalam kitab “Jalan-jalan seorang penuntut ilmu” yang ditulis oleh Sheikh Hussein Yaakob ada menyebut mengenai HASAD YANG DIBOLEHKAN kepada kita.

Rasulullah bersabda :

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا حَسَدَ إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ فَهُوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا

Tidak ada HASAD melainkan dua ini, seseorang yang diberikan Allah kepadanya harta lalu menggunakannya pada jalan yang hak, dan lelaki yang diberikan Allah kepadanya hikmah(ilmu) dia mengamalkannya dan dan mengajarnya

(Disepakati oleh Bukhari dan Muslim)

Imam ibnu Hajar mensyarahkan hadith tersebut dalam kitab fathul bari syarah kepada sahih bukhari ada menyebut,

وَأَمَّا

الْحَسَد الْمَذْكُور فِي الْحَدِيث فَهُوَ الْغِبْطَة ، وَأَطْلَقَ الْحَسَد عَلَيْهَا مَجَازًا ، وَهِيَ أَنْ يَتَمَنَّى أَنْ يَكُون لَهُ مِثْل مَا لِغَيْرِهِ

Adapun HASAD yang dimaksudkan pada hadith tersebut ialah kenikmatan, ditolak hasad yang mana keatasnya majaazan (bermaksud buruk), iaitu keinginan ingin menjadi seperti mana orang itu perolehi yang tidak ada padanya

Bukan bermakna HASAD disini ialah gembira apabila melihat dia jatuh ataupun hilang sesuatu itu dari dirinya (dengki), tetapi KEAZAMAN kita ingin mencapai sepertimana yang diperolehinya.

Lain dari dua HASAD ini adalah ditolak dan tidak diterima. Pada zaman ini kita boleh melihat bermacam-macam hasad manusia, sanggup melakukan apa sahaja sehingga melampaui batas agama, ada juga sehingga merosakkan hubungan persaudaraan dan sebagainya.

Semoga kita dilindungi Allah dari sifat mazmumah, sentiasa dinaungi dengan payung ukhuwah islamiah, dan dijauhi HASAD yang ditolak yang boleh memecah belahkan kita Insyallah. Wallahu A'lam.

Rujukan : Fathul Bari Ibnu Hajar Asqalani

Muntholaqat Tholibil Ilmi Sheikh Hussein Yaakob

Monday, March 24, 2008

Buat Pendakwah


Bismillahirrahmaanirrahim

Dakwah menjadi kewajipan setiap muslim. Berdasar kemampuan dan keadaan kitalah bagaimana sebuah dakwah itu akan disampaikan.

Suka saya berkongsi sedikit ilmu yang tidak seberapa pada diri ini, semoga ianya dapat membantu diri yang kerdil ini dan setiap pendakwah yang lain insyallah.

Sebagai seorang pendakwah awlawiyyat (keutamaan) sesuatu perkara amatlah dititik berat, supaya perkara yang penting tidak kita anggap remeh, sesuatu yang patut didahului tidak kita kemudiankan, Pepatah melayu ada menyebut “ Yang dikejar tak kesampaian yang dikendong bertaburan” .

Antara kesilapan pendakwah ialah terlalu sibuk dengan tugas dakwahnya sehingga mengabaikan sesetengah kewajipan, bukan saya menafikan kerja murni yang dilakukan, apatah lagi dakwah adalah sunnah yang dilakukan oleh junjungan kita Rasulullah SAW, dan percayalah mereka yang mampu melakukan kerja dakwah tapi hanya berdiam diri, ianya akan disoal di akhirat kelak, cuma keaktifan kita dengan dakwah perlulah dibahagikan dengan kewajipan yang lain.

Sebagai contoh, seorang pendakwah yang aktif berdakwah kesana sini meninggalkan anak isteri terkontang-kanting dirumah, sibuk mengtarbiyah orang lain diluar, mendidik anak isteri orang di luar, anak bini sendiri terlupa ditarbiyahnya, ini adalah sifat yang tidak harus ada pada seorang pendakwah. Kebanyakan perkara seperti inilah menjadi point orang kebanyakan untuk mencela shakhsiah pendakwah.

Apa yang cuba saya bawakan disini ialah, seorang pendakwah WAJIB membahagikan masa mereka, mengatur jadual kerja dengan baik, supaya hak-hak yang lebih penting kita dahulukan, dan lubang-lubang untuk orang kebanyakan mencari point terhadap pendakwah dapat dikurangkan.

Kita adalah umat yang mutawassit (bersederhana) dalam kebanyakan perkara, sesibuk mana pun kita jangan dibandingkan dengan Rasulullah SAW, walaupun sibuk, baginda masih mampu bersama dengan keluarga, di medan perang bersama para sahabat, menziarahi kubur dan lain-lain lagi, bagaimana kita? Oleh itu jadikanlah Rasulullah SAW sebagai ikutan, Allah berfirman :

“Sesungguhnya telah ada pada Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu bagi orang yang mengharap Allah dan hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”

Al Ahzab -21

Allahumma Zidna ‘Ilma.

Rujukan : Al Ummatul Wasatho oleh Dr 'Aid Al Qarni

Friday, March 21, 2008

ERTI KEHIDUPAN..


Kehidupan boleh diibaratkan seperti untaian tali temali yang sentiasa bersambungan tetapi pasti ada hujung pangkalnya. Oleh itu, corak kehidupan juga ada peringkat-peringkat tertentu yang perlu dilewati seseorang seiring dengan pertambahan usia yang akhir menemui penghujungnya, Peringkat kehidupan terbahagi kepada lima iaitu:-


  • Kehidupan alam pertama iaitu sejak Nabi Adam a.s. diciptakan dan seterusnya melahirkan zuriat manusia.
  • Kehidupan kedua sejak manusia dilahirkan ke dunia hasil perhubungan suami isteri sehinggalah berakhir dengan kematian.
  • Kehidupan alam ketiga iaitu alam barzakh yang merupakan alam penantian
    sementara sebelum dibangkitkan semula oleh Allah s.w.t pada hari pembalasan kelak.
  • Kehidupan keempat iaitu semenjak alam barzakh - dihidupkan kembali untuk dikumpulkan bagi menerima pengadilan.
  • Kehidupan alam kelima iaitu semenjak penentuan timbangan amal bagi
    menentukan ganjaran syurga atau seksaan neraka.

Empat peringkat kehidupan insan yang terawal kesemuanya dipenuhi dengan perjuangan dan gelora kehebatan ujian serta cubaan kecuali kehidupan yang terakhir yang berkesudahan dengan menerima ganjaran atau hukuman. Oleh itu bagi memperolehi kebahagiaan bukan sahaja semas di peringkat awal bahkan berkesudahan dengan ganjaran yang mulia, seorang insan perlu mengambil Islam, Iman, Ihsan, Iradah, dan Ikhlas sebagai landasan dan cerminan kehidupan.


Alangkah cantik dan indahnya jika keislamannya didasari oleh iman. Kemudian imannya diperelokkan dengan ihsan. Lantas, ihsannya pula dihidupkan dengan iradah manakala iradahnya pula disucikan dengan ciri-ciri keikhlasan. Ini merupakan resipi yang tiada tolok bandingnya dalam kembara insane mencari dan menikmati kelazatan serta kemanisan iman yang paling abadi. Malah Allah juga turut berjanji dalam firman-Nya: (At-Tin: 4-6)


"Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka), kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya."

rujukan: tazkirah.

Monday, March 17, 2008

Ku kejar Mardhatillah....

Ku Kejar Mardhatillah

Dikala datang menjengah mentari sepenggalah waktu dhuha,
Terdetik di sanubari hina untuk seketika bersama,
Untuk sujud kepada-Mu setelah lamanya aku leka,
Ku bingkas bangun meninggalkan urusan duniaku,
Ku berhati-hati serta tertib mengambil
wudhu’ku,
Ku kibas bentang lurus sejadahku,
Ku menghadap qiblat lantas mengangkat tinggi takbirku pada-Mu

Tiada lain yang ku kejar melainkan redha-Mu

Setelah seketika selesai ku solatkan solat
dhuha,
Hati batu ini terpanggil untuk sujud semula,
Ku ringankan tubuh turuti sujud nan meminta,
Sekadar mengulangi pintaan jarang seorang hamba

Tiada lain yang ku kejar melainkan redha-Mu

Ku pohon Kau selamatkanlah kawan, sahabatku,
Ku minta Kau bahagiakanlah antara ahli keluargaku,
Ku pinta Kau sejahterakanlah dunia-akhiratku,
Ku doa agar Kau permudahkan urusan memartabatkan agama-Mu

Tiada lain yang ku kejar melainkan redha-Mu

Si riak Hati Hitam pun mula menyusun bicara,
Pilu mengenang jasad tuan nya tak layak ke Syurga,
Melainkan keinsafan yang dititiskan dek air Mata,
Kata-Nya mampu padamkan api pembakar jasad Neraka

Tiada lain yang ku kejar melainkan redha-Mu

Ku sedar hina sedari mula di sisi-Mu,
Ku sedar terlalu banyak dosaku pada-Mu,
Ku sedar diri payah istiqamah di jalan-Mu,
Ku sedar takkan lama hidup atas dunia-Mu

Tiada lain yang ku kejar melainkan redha-Mu

Sudah lama ku hidup dalam noda lagho sia-sia,
Jangan Kau ambil nyawa ini,
Melain keadaannya
dalam takwa,
Jangan Kau biarkan sejuk jasad ini,
Melain kan di medan jihad fi-sabiliLlah,
Jangan Kau panggil ku kembali,
Melain kan tiada manfaat buat diri ini atas
dunia

Tiada lain yang ku kejar melainkan redha-Mu

Inilah dia di ikrarkan taubat nasuhaku,
Dengan nama Allah,
Ku tinggalkan maksiat ku lakukan persis di
hadapan-Mu,
Dengan nama Allah,
Ku cuba sedaya istiqamah dalam amal ibadatku terhadap-Mu,
Dengan nama Allah,
Aku berusaha terus kekal dalam arena dakwah menyeru pentauhidan-Mu



Tiada lain yang ku kejar melainkan redha-Mu
Moga Kau kurniakan masa depan yang baik bagi ku untuk dimanfaatkan kepada ummah,
Tiada lain yang ku kejar melainkan redha-Mu
Moga Kau kurniakan tempat yang baik bagi ku untuk dimanfaatkan kepada
ummah
Tiada lain yang ku kejar melainkan redha-Mu
Moga Kau kurniakan peranan yang baik bagi ku untuk dimanfaatkan kepada ummah,

Tiada lain yang ku kejar melainkan redha-Mu

Moga kau sampaikan jua ku ke
destinasi…
kekal abadi dengan redha-Mu